Dalam memahami sengketa antara dunia Islam dengan Zionist, kita 
perlu memahami perbezaan Istilah yang biasanya merujuk kepada mereka. 
Perkara ini penting bagi memestikan kita berhadapan dengan musuh yang 
sebenarnya, dan tidak meletakkan permusuhan itu kepada yang bukan musuh.
Ada 4 istilah yang biasanya digunakan untuk merujuk kepada mereka, seperti berikut:
1. Israel
Israel adalah nama gelaran kepada nabi Allah Ya’qub A.S. Ada yang 
menyatakan maksud Israel itu sebenarnya ialah kekasih Tuhan. Perkataan 
Israel juga banyak kali digunakan di dalam al-Quran dengan istilah Bani 
Israel, dengan merujuk kepada bangsa Israel atau anak-anak dan pengikut 
Ya’qub yang beriman dan juga yang kufur dengan ajaran Allah. Justeru, 
ramai berpendapat yang perkataan Israel itu lebih merujuk kepada bangsa 
mereka secara umum tanpa kaitan dengan agama yang mereka anuti. Ada juga
 yang berpendapat bangsa Yahudi sekarang di Palestin tidak layak 
menggunakan perkataan Israel sebagai nama negara haram mereka, kerana 
Israel itu adalah nama nabi, pemimpin orang yang beriman.
Ada juga pendapat lain yang menyatakan perkataan Israel itu bermaksud
 ‘kamu mengalahkan Tuhan’, dengan merujuk kepada kisah mengarut mereka 
apabila Ya’qub mengalahkan Tuhan bernama Yahwu di dalam satu sengketa.
2. Yahudi
Ada beberapa pendapat mengenai istilah Yahudi ini. 
Ada yang menyatakan ianya merujuk kepada anak keempat nabi Ya’qub yang 
bernama Yahuza. Raja Nebuchadnezzar II adalah pemimpin kerajaan Babylon 
yang mengalahkan kuasa bangsa Yahudi ini yang ketika itu dikenali dengan
 nama Kerajaan Yahuza.
Ada yang berpendapat Yahudi itu merujuk kepada pengikut nabi Allah 
Musa. Bagi yang percaya dengan kitab Taurat dan Zabur, serta Kitab 
Talmud yang dikarang-karut oleh Hakham (pendita) mereka, mereka 
dipanggil Yahudi. Semua yang lahir daripada ibu atau bapa berbangsa 
Yahudi, dianggap Yahudi oleh mereka.
Pendapat lain menyatakan yang Yahudi itu merujuk kepada keluarga Hud,
 yang merupakan pecahan daripada keturunan Ibrahim. Sebahagian keturunan
 Ibrahim percaya dengan seruan Musa yang akhirnya mereka ini menganggap 
ianya sebagai agama baru. Ibrahim mempunyai keturunan yang ramai, 
daripada anaknya Ismail lahirnya keturunan Arab dan nabi Muhammad, 
sementara daripada anaknya Ishaq lahirnya bangsa Yahudi ini.
Banyak kajian mendapati yang perkataan Yahudi ini banyak merujuk 
kepada bangsa mereka yang percaya dengan agama mereka yang telah 
diseleweng. Ini bermakna, Yahudi lebih merujuk kepada pengikut agama, 
dan bukannya sinonim dengan bangsa.
Sebahagian ulamak menyatakan yang di dalam al-Quran, apabila Allah 
ingin menceritakan kisah jahat bangsa Yahudi ini, Allah banyak menggelar
 mereka dengan perkataan Yahudi. Dan apabila Allah ingin menceritakan 
mengenai kisah bangsa ini yang beriman dengan Tuhan mereka, maka Allah 
akan gunakan perkataan Bani Israel. Saya dapati yang pandangan ini tidak
 tepat seluruhnya, kerana ada juga ayat di mana Allah menggunakan 
perkataan Bani Israel merujuk kepada bangsa berkenaan yang mengingkari 
ajaran Tuhan, seperti dalam surah al-Ma’idah ayat 78:
لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى لِسَانِ 
دَاوُدَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا 
يَعْتَدُونَ (٧٨)
Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di 
dalam kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa 
Ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu 
menceroboh.
Walaupun ayat di atas menggunakan istilah 
min bani Israel - 
sebahagian daripada
 bani Israel – merujuk kepada bangsa Yahudi yang kufur, akan tetapi 
Allah tetap menggelar mereka sebagai bani Israel. Saya bersetuju 
sekiranya dikatakan kebanyakan ayat dalam al-Quran yang melaknat bangsa 
Yahudi menggunakan kalimah Yahudi, tetapi tidak semua.
3. Hebrew
Di dalam bahasa Arab, ianya dikenali dengan perkataan Ibrani. Asal 
perkataannya bermaksud menyeberang, kerana orang Yahudi mengikut sejarah
 dikenali sebagai bangsa yang berpindah-randah dan menyeberangi sungai. 
Contohnya, nabi Allah Ya’qub menyeberangi Sungai Furat, dan juga nabi 
Allah Yusuf dan nabi Allah Ibrahim A.S, semuanya terkenal dengan kisah 
berpindah randah dari satu tempat ke tempat yang lain.
Sebahagian golongan sekular bangsa ini lebih menggelar diri mereka 
dengan istilah Hebrew, kerana bagi mereka Hebrew adalah nama lama 
sebelum lahirnya agama Yahudi.
4. Zionisme

Propaganda Zionist untuk membina Temple of Solomon di atas runtuhan al-Aqsa
 
Zionisme adalah berasal daripada perkataan Bukit Zion, merujuk kepada
 tapak paling suci di dalam agama Yahudi. Mereka percaya di Bukit Zion 
itulah tapak sebenarnya Temple of Solomon (Haikal/Kuil Sulaiman). Tapak 
itu sekarang ialah betul-betul di Dome of The Rock (Qubbah al-Sakhrah) 
yang merupakan sebahagian daripada Masjid al-Aqsa.
Zionisme adalah sebuah pergerakan kebangsaan yang ditubuhkan oleh 
orang berbangsa Yahudi. Ianya merupakan sebuah ideologi politik sempit 
berasaskan perkauman yang meletakkan sasaran merampas serta menubuhkan 
sebuah negara bangsa Yahudi di atas tanah milik rakyat Palestin. 
Ditubuhkan pada tahun 1897 di Basel, Switzerland. Dalam persidangan 
pertama mereka pada tahun penubuhannya, Theodor Herzl telah dilantik 
sebagai pemimpin pertama pergerakan tersebut. Modus operandi utama 
pergerakan ini ialah membawa masuk bangsa-bangsa Yahudi dari seluruh 
dunia terutamanya dari Amerika dan Eropah Timur, masuk ke dalam negara 
Palestin. Mereka akan menggunakan apa sahaja cara, seperti merampas 
tanah dan juga perjanjian politik dengan kuasa penjajah, bagi 
membolehkan mereka menguasai seinci demi seinci tanah Palestin. Mereka 
berusaha untuk menzioniskan atau mengyahudikan identiti kawasan 
berkenaan, lalu mengubah demografi tanah suci tersebut. Kajian mengenai 
perubahan demografi di Palestin hasil 
rancangan licik mereka boleh dicapai di sini.
MENGENALI MUSUH SEBENAR
Islam adalah agama yang membawa rahmat ke seluruh 
alam. Sebahagian orientalis dan musuh Islam cuma mewujudkan imej yang 
kandungan al-Quran itu menganjur permusuhan mutlak kepada orang Yahudi 
dan non-Muslim yang lain. Lalu mereka datangkanlah beberapa potong ayat 
atau tafsiran ayat al-Quran, seperti ayat ketujuh daripada surah 
al-Fatihah yang menyatakan bahawa orang yang dimurkai itu merujuk kepada
 Yahudi, dan orang yang sesat itu merujuk kepada penganut Kristian.
Adalah tidak tepat kalau kita masuk ke dalam jerat musuh ini. 
Sekiranya diperhatikan di dalam al-Quran dan al-Sunnah, maka kita akan 
dapati bahawa Islam tidak pernah mengajar kita bermusuh secara mutlak 
kepada non-Muslim termasuklah juga bangsa Yahudi. Nabi sendiri pernah 
berkahwin dengan Safiyyah binti Huyai, seorang puteri kepada pemimpin 
Yahudi di Madinah. Islam juga membenarkan kita makan daging sembelihan 
Yahudi, menggambarkan betapa rapatnya hubungan kita dengan mereka. 
Selain itu, wanita mereka juga boleh dinikahi. Islam juga menganjurkan 
kita melakukan urus niaga perdagangan dengan mereka, sehinggakan ada 
satu bab khusus di dalam Sahih Bukhari bertajuk ‘Bab Berurusniaga Dengan
 Musyrik dan Yahudi’.

Yang
 menjadi musuh kita, ialah bangsa Yahudi yang memusuhi kemanusiaan. Yang
 menjadi musuh kita, ialah bangsa Yahudi yang memandang hina bangsa 
selain Yahudi yang dipanggil Goyem oleh mereka. Yang menjadi musuh kita,
 ialah bangsa Yahudi yang merampas tanah milik orang Palestin 
termasuklah tanah waqaf seinci demi seinci demi cita-cita politik 
mereka. Yang menjadi musuh kita, ialah bangsa Yahudi yang menghalalkan 
pertumpahan darah orang awam, kanak-kanak, wanita dan orang tua yang 
tidak berdosa demi haloba perjuangan mereka.

Itulah
 yang diperjuangkan oleh pergerakan Zionisme. Kini, simbol Zionisme itu 
disemat erat di dalam bendera negara haram Israel. Bukan semua Yahudi 
bersama-sama dengan Zionisme. Ramai juga yang menentang Zionisme 
terutamanya daripada kumpulan orthodox mereka. Dan bukan semua yang 
Zionisme itu adalah berbangsa Yahudi. Di dalam artikel akan datang, saya
 akan dedahkah bangsa selain Yahudi yang menjadi pendokong pergerakan 
Zionisme, termasuklah daripada orang Islam itu sendiri.